Photobucket

Khamis, 3 Mac 2011

PERLEMBAGAAN ISLAM

1.0 PENDAHULUAN


Dalam sistem pemerintah sesebuah negara ia memerlukan suatu peraturan atau undang-undang yang boleh mengawal setiap tindak tanduk manusia atau rakyat negara tersebut. Ia bererti mampu mencegah manusia atau rakyatnya daripada melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang negara tersebut bagi menjamin keselamatan, hubungan yang harmoni dan kesejahteraan rakyat tersebut.

            Pada zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w iaitu zaman pemerintahan Islam, undang-undang yang tertinggi ialah undang-undang Islam iaitu berdasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah Rasulullah s.a.w, yang mana ia merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia di dunia ini. Dengan adanya undang-undang, ia mampu menjadi panduan atau petunjuk kepada pemimpin serta rakyat di bawah pimpinannya dalam pemerintahan atau pentadbiran negara. Selain itu juga, pada zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w, Baginda telah membuat atau menggubal perlembagaan bertulis pertama di dunia yang dikenali dengan Sahifah Madinah atau perlembagaan Islam.

            Dalam penulisan atau kertas kerja ini, penulisan hanya akan membincangkan mengenai perlembagaan Islam dari segi takrifnya itu sendiri, sumber-sumber perlembagaan Islam, sejarah penggubalan dan sebagainya.


2.0       TAKRIF PERLEMBAGAAN ISLAM


Definisi perlembagaan dari segi bahasa ialah perlembagaan diambil daripada kata Parsi bermaksud buku anda menulis nama-nama para askar, yang berkumpul undang-undang raja, dan juga melepaskan (berkaitan) menteri, dan berpindah daripada bahasa Turki kepada bahasa Arab dengan makna (undang-undang dan izin) dan kemudian berubah penggunaannya sehingga muncul sekarang Undang-Undang Dasar Negara.[1]

            Dari segi istilah pula perlembagaan didefinisikan sebagai himpunan hukum-hakam (undang-undang) yang menunjukkan bentuk negara, sistem kerajaan padanya (pemerintahan) dan kekuasaannya, dan jalan pengedaran kuasa-kuasa ini dan kenyataan atau laporan rangka acuannya (menjelaskan pengkhususannya dan kenyataan hak-hak dan kewajipan warga negara (menjelaskan hak-hak waraganegara (rakyat) dan kewajipannya. Dan berlaku definisi perlembagaan ini kepada  definisi undang-undang perlembagaan; kerana undang-undang perlembagaan adalah undang-undang perlembagaan yang diterapkan di negara ini, dan perlembagaan diterapkan di negara ini adalah (himpunan) peruntukan-peruntukan perlembagaan yang khas untuk negara ini.[2]

Mengikut Abu al-A’1a al- Maududi yang dimaksudkan dengan perlembagaan negara Islam ialah perlembagaan tidak bertulis.Manakala perlembagaan dalam bahasa arab dikenali dengan perkataan sahifah. Sahifah berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud lembaran bertulis.

Selain itu juga, perlembagaan di dalam bahasa Arab disebut sebagai dustur. Menurut al-Zabidiyy, perkataan al-dustur berasal daripada perkataan Parsi yang bermaksud nama bagi sebuah rekod yang mengandungi undang-undang dan peraturan raja. Dr.Ibrahim Madkur menyatakan bahawa al-dustur iaitu satu kaedah yang dilaksanakan tuntutannya.  Manakala Dr.Muhammad Faruq al-Nabhan pula menjelaskan bahawa perkataan al-dustur adalah berasal daripada bahasa Parsi yang bermaksud asas dan kaedah.
            Manakala Islam bermaksud tunduk dan patuh kepada perintah Maha Pemerintah dan larangan Nya tanpa bantahan. Dinamai agama kita ini dengan Islam kerana ia mengajarkan kepatuhan kepada Allah dan tunduk kepada perintahNya tanpa membantah.[3]
           Al-Nabhan berpendapat bahawa pengertian al-dustur al-Islamiyy adalah berbeza daripada pengertian menurut istilah semasa. Beliau telah mentakrifkan al-dustur al-Islamiyy sebagai sekumpulan kaedah-kaedah utama yang diambil daripada sumber-sumber asas dalam syariat Islam.[4] Berdasarkan kepada takrif ini, skop perbahasan perlembagaan Islam adalah sangat luas kerana merangkumi semua prinsip-prinsip asas yang menyentuh aspek kehidupan manusia termasuklah masalah yang berkaitan dengan kenegaraan dan pemerintahan.

3.0 SUMBER-SUMBER PERLEMBAGAAN ISLAM

Dimaksudkan dengan sumber di sini ialah punca- punca prinsip perlembagaan itu diambil dan dibukukan. Sudah menjadi kelaziman mana-mana perlembagaan negara yang ada di dunia jni menpunyai sumber pengambilan yang tersendiri.[5] Contohnya Perlembagaan Inggeris ia bersumberkan: Common Low (tradisi dan adat resam Inggeris), Convention (amalan perlembagaan), Statute (akta parlimen), penulisan-penulisan pengarang yang berautoriti dan lain-lain.[6]

            Bagi perlembagaan Islam sumber-sumbernya tidaklah berteraskan kepada adat resam dan lain-lain amalan tradisi masyarakat. Di dalam konteks ini, terdapat empat sumber Perlembagaan Islam iaitu [7]:


  1. Al-Quran al-Karim

Al-Quran bermaksud kalamullah (kalimat-kalimat Allah) yang diwahyukan kepada nabi Muhammad S.A.W. Selain itu juga, al-Quran ialah suatu bentuk wahyu yang tertentu, yang bukan sahaja isinya kita terima dari Allah, melalui rasulNya, tetapi juga bahasa dan ungkapannya.[8]

          Al-Quran merupakan sumber utama kepada seluruh hukum syara’ termasuklah mengenai politik dan perlembagaan. Walaupun ayat-ayat yang berhubung dengan undang-undang perlembagaan sedikit, tetapi ia memadai untuk menentukan prinsip dalam perlembagaan Islam seperti syura, 
keadilan, kebebasan dan lain-lain.

                    Di dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat yang menyatakan kuasa tertinggi bagi Allah. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :“Sesungguhnya hukum hanyalah bagi Allah, Allah memerintah supaya kamu jangan menyembah melainkan kepada Allah. Yang demikian itulah agama yang betul tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."[9]  

                   Firman Allah S.W.T lagi yang bermaksud :“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”[10]

                        Selain itu juga, ia merupakan sumber pertama dan utama bagi perlembagaan umat Islam yang menerangkan segala-galanya baik secara umum, alam banyak hal, mahupun secara khusus, dalam sesetengah hal. Ia juga sebagai alat untuk manusia beribadat kepada Allah S.W.T.

                        Kandungan al-Quran meliputi  dan merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia seperti soal-soal kepercayaan dan ibadat hinggalah kepada hukum-hukum sosial, prinsip-prinsip ekonomi, kenegaraan, nilai-nilai mulia dan lain-lain. Selain itu, bidang-bidang yang lain terutamanya bidang perlembagaan  hanya menemui ayat-ayat yang menggambarkan prinsip-prinsip umum yang tetap (tidak berubah) dan sesuai bagi  semua suasana, tempat dan masa. Namun begitu tidak terdapat huraian yang meluas dan jelas dari al-Quran mengenai prinsip-prinsip itu adalah disebabkan hal-hal kenegaraan dan perlembagaan ini selalunya berubah-ubah menurut perubahan suasana, peredaran zaman dan keperluan semasa bagi masyarakat.

  1. Al-Sunnah

Pengertian al-Sunnah dalam penggunaan biasanya ialah suatu kebiasaan atau tradisi bagi seseorang, kelompok ataupun masyarakat.[11] Hal demikian adalah berdasarkan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud  :(Demikianlah) peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan sebelummu dari Rasul-rasul kami; dan Engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi peraturan Kami yang tetap itu.”[12]
           
                                    Berdasarkan kepada sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
Sesiapa yang memulakan kebiasaan baik (sunnah hasanah) maka dia akan mendapat pahala melakukkannya dan pahala-pahala orang-orang yang melakukannya sehingga hari kiamat. Dan sesiapa yang melakukan kebiasaan buruk (sunnah sayyiah) maka dia akan menanggung dosa melakukannya dan dosa orang-orang yang melakukannya sehingga ke hari kiamat.”

                        Dalam konteks yang berbeza pula Rasulullah pernah menggunakan perkatan al-Sunnah bagi mengertikan bentuk atau tata perilaku Islam.[13] Berdasarkan kepada sabda Rasulullah S.A.W :“Sesiapa yang tidak suka kepada bentuk tingkah laku saya (sunnati) maka dia bukan dari golongan saya.”

            Sabda Baginda S.A.W lagi yang bermaksud :“Kamu semua mesti mengikut tingkah laku saya (sunnati) dan bentuk  tingkah laku para khulafa’ al-rasyidin selepas saya.”  riwayat Imam Ahmad.

            Manakala al-Sunnah mengikut istilah ulama Islam ialah segala yang diriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W sama ada berupa kata-kata, perbuatan mahupun pengakuan.  Selain itu juga, al-Sunnah diertikan sebagai ucapan, perbuatan dan persetujuan Rasulullah s.a.w semasa hayatnya yang menyentuh segala persoalan hidup, kepercayaan dan amalan.[14]

                        Sunnah Rasullullah s.a.w. merupakan sumber kedua kepada seluruh hukum syara’. Oleh itu sunnah menjadi sumber undang-undang perlembagaan yang kedua. Segala tindakan Baginda yang meliputi segala bidang kehidupan manusia dijadikan teladan dan bahan dalam pembentukan pemerintahan atau negara. Justeru itu Sunnah memainkan peranan penting dalam penggubalan perlembagaan negara Islam.

                     Di samping itu juga, al-Sunnah adalah sebagai pelengkap kepada  al-Quran dalam menerangkan ayat-ayat yang mujmal yang berkaitan dengan hukum hukum yang tidak terdapat atau tidak diterangkan dalam al-Quran.

  1. Amalan-amalan khulafa’ al-rasyidin

Amalan dan tindakan yang telah diambil oleh para khulafa’ al- rasyidin dan juga para sahabat lainnya di dalam menjalankan urusan negara sesudah wafat Rasulullah s.a.w adalah menjadi sumber ketiga bagi perlembagaan Islam.

            Amalan dan tindakan mereka dianggap sebagai contoh kepimpinan yang perlu diikuti oleh umat Islam di dalam urusan kenegaraan mereka. Umat Islam hingga ke hari ini masih menerima contoh-contoh yang telah  mereka abadikan dalam  lipatan sejarah Islam.

            Setiap keputusan yang telah diambil oleh para khulafa’ al-rasyidin berhubungan dengan isu-isu perlembagaan dan undang-undang negara sesudah mereka dedahkannya kepada pemerhatian para sahabat Rasulullah s.a.w yang lain adalah merupakan , menurut pandangan ijma’ ulama (persetujuan) para sahabat Rasulullah s.a.w yang wajib diterima oleh umat Islam sesudah zaman mereka, kerana apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bersatu pendapat dalam sesuatu isu maka ini menggambarkan kepaa kita suatu fahaman yang benar mengenai pengertian al-Quran atau satu cara yang betul di dalam mengamalkan kehendaknya. Apabila mereka berselisih pendapat, maka ini menunjukkan bahawa isu berkenaan  mempunyai banyak andaian.

                        Perkara ini telah dipersetujui oleh ulama Islam memandangkan hubungan rapat mereka dengan Rasulullah s.a.w yang memberika peluang kepada mereka untuk mengetahui lebih mendalam  mengenai al-Quran dan persoalan-persoalan  yang ada kaitan dengannnya dan menberi peluang juga  kepada mereka untuk  mengetahui lebih banyak hadis-hadis Baginda s.a.w secara langsung, dengan kerana itu adalah tidak diragukan lagi tentang keenaran persetujuan  mereka mengenai sesuatu isu perlembagaan yang dibentangkan untuk pemerhatian mereka.

                        Sesetengah penulis telah meluaskan bidang (skop) sumber ini sehingga meliputi hukum-hukum yang telah diputuskan oleh para pemerintah Islam (berhubung isu-isu perlembagaan) di zaman mereka yang tidak terdapat ijma’ para sahabat Rasulullah s.a.w di masa pemerintahan khulafa al-rasyidin.

Kecenderungan mereka ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud :  
“Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” [15]

            Setiap keputusan yang telah diambil oleh khulafa al-rasyidin melibatkan isu-isu perlembagaan dan undang-undang negara setelah didedahkan kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. merupakan ijma’ para sahabat. Umat Islam wajib menerimanya setelah zaman mereka berlalu. Ini disebabkan para sahabat Rasulullah s.a.w. bersatu pendapat dalam sesuatu masalah. Keadaan ini menggambarkan kepada kita suatu kefahaman yang benar mengenai pengertian al-Quran dan cara mengamalkan tuntutannya.

  1. Keputusan dan ketentuan para mujtahid mengenai isu - isu perlembagaan

Oleh kerana secara ikhtisasnya para mujtahid Islam itu mempunyai maklumat agama yang cukup serta pandangan yang luas mengenai hukum-hukumnya, maka keputusan mereka di dalam beberapa isu perlembagaan  dapat menolong kita di dalam memahami semangat perlembagaan Islam dan prinsip-prinsip umumnya secara yang lebih jelas lagi. Lantaran itu, al-Maududi dalam bukunya,“Ke arah penyusunan satu perlembagaan Islam’’ telah mengaggap keputusan mereka ini tidaklah setanding dengan ijma’ para sahabat Rasulullah s.a.w dan lebih jauh daripada menandingi nas al-Quran dan sunnah.

                        Perlembagaan Islam menjadikan pendapat golongan mujtahid sebagai salah satu sumber perundangannya. Terutama melibatkan para imam mazhab empat dan ulama’ muktabar yang lain. Pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh mereka amat penting dijadikan panduan kerana perkembangan hukum sentiasa berubah berdasarkan situasi dan masa.

            Selain daripada empat sumber di atas, terdapat beberapa sumber lain yang boleh ditambah dari masa ke semasa dalam proses menggubal perlembagaan Islam. Antaranya seperti amalan-amalan perlembagaan di negara umat Islam sekarang. Uruf setempat dan sumber-sumber lain yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam kerana mengikut suasana semasa yang pernah dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

                        Profesor Dr Yusof Al-Qardhawi menyatakan di dalam bukunya “Fiqh al-daulah”,  bahawa Rasulullah s.a.w. menggunakan cincin sebagai mohor untuk mencop surat-surat baginda kepada raja, sebab para sahabat berkata kepada baginda, para raja biasanya tidak bersedia menerima surat rasmi yang tidak dicop dengan mohor kehormatan. Manakala Saidina Umar bin AI Khattab r.a., memanfaatkan sistem percukaian dan pendaftaran (tadwi al-dawawin) yang diambil daripada peradaban non muslim.

                        Betapa terbukanya Islam dalam menerima bentuk atau suatu yang baik dan bermanfaat selagi tidak terkeluar dalam ruang lingkup hukumnya dan dasarnya seperti sumber-sumber perlembagaan Islam. Ini menunjukkan Islam adalah sumber kepada segala masalah yang di perbincangkan dan dapat menongkah arus zaman. Berdasarkan hal demikian dapat disimpulkan bahawa sumber-sumber utama dalam sesebuah perlembagaan Islam ialah empat sumber tersebut yang dirasakan  penting sebagai rujukan  dalam usaha ke arah mewujudkan  satu perlembagaan Islam yang lengkap.

4.0 SEJARAH PENGGUBALAN PERLEMBAGAAN ISLAM

Sahifah telah digubal oleh Nabi Muhammad SAW pada tahun 622 bersamaan tahun pertama Hijrah yang merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Selain itu juga ia dikenali dengan pelbagai nama seperti Perjanjian Madinah, Dustur al-Madinah dan juga Piagam Madinah. Selain itu, Sahifah Madinah juga boleh dikaitkan dengan Perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk sebuah negara iaitu Daulah Islamiyah yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa dan kaum.

            Berdasarkan kepada rentetan sejarah perjanjian al-‘Aqabah adalah merupakan titik tolak penting yang telah membawa kepada penghijrahan para Sahabat dan Rasulullah s.a.w  ke Yathrib (Madinah). Setelah termeterainya perjanjian al-‘Aqabah pertama iaitu pada tahun ke 12 Kenabian dengan kemasukan seramai 10 orang Khazraj dan dua orang Aws ke dalam agama Islam telah memberikan ruang kepada agama Islam untuk berkembang di Yathrib (Madinah). Selepas perjanjian al-‘Aqabah yang pertama termeterai, ia disusuli pula dengan perjanjian al-‘Aqabah kedua iaitu pada tahun ke 13 Kenabian.  Menurut ‘Urwah bin al-Zubayr dan Musa bin ‘Uqbah, perjanjian kali kedua ini disertai oleh seramai 70 orang lelaki dan seorang wanita.[16]

            Selepas Rasulullah s.a.w menerima perintah daripada Allah s.w.t supaya berhijrah ke Madinah, Baginda s.a.w telah menyusun dan melaksanakan beberapa asas utama untuk membina sebuah masyarakat baru yang bersatu padu dan mampu bekerjasama di bawah prinsip-prinsip Islam. Salah satu daripadanya ialah Rasulullah s.a.w telah mengadakan perjanjian  dengan penduduk-penduduk Madinah atau dikenali dengan nama Sahifah Madinah (Perlembagaan Madinah).[17] Perlembagaan yang dibuat oleh Nabi Muhammad s.a.w merupakan perlembagaan yang pertama di dunia yang begitu mantap dengan isi kandungannya yang mampu memenuhi tujuan dan objektif yang dikehendaki dan ia juga dapat membentuk organisasi politik Islam yang kukuh dan unggul.[18]       
            Sahifah Madinah terbahagi kepada dua bahagian berasingan yang kemudiannya digabung dan disatukan oleh para sejarawan iaitu[19] :
  1. Fasal pertama sehingga fasal 23 yang mengandungi peraturan-peraturan yang melibatkan atau berkenaan dengan golongan al-Muhajirin dan penduduk kota Madinah (al-Ansar).
  2. Manakala fasal 24 sehingga fasal 47 adalah mengenai hak-hak dan kewajipan masyarakat Yahudi di Madinah.
 Selain itu juga, di dalam kedua-dua bahagian tersebut dimasukkan beberapa perundangan atau peraturan-peraturan yang berkaitan dengan golongan mushrikun dan beberapa peraturan-peraturan umum yang lain.
            Secara kesimpulannya, berdasarkan kepada penggubalan Sahifah Madinah ia membuktikan bahawa Islam sejak awal lagi sudah wujud satu undang-undang atau peraturan yang memandu atau menjadi tunjang dalam suatu pemerintahan yang berperlembagaan yang lengkap dan merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia dari segi politik, pentadbiran, ekonomi dan sebagainya yang diperlukan oleh sesebuah negara. Selain itu juga, ia menjadi suatu platform kepada pelaksanaan undang-undang Islam atau Syariah Islamiyyah.

5.0 HALANGAN DALAM PENGGUBALAN PERLEMBAGAAN ISLAM

Menurut Abu a’la al-Maududi, terdapat beberapa halangan atau masalah-masalah dalam penggubalan Perlembagaan Islam iaitu [20]:

Masalah yang pertama : Siapakah yang berkuasa terhadap hukum (peraturan-peraturan) yang berkaitan dengan pemerintahan ini? Adakah Raja-raja, orang bawahan, seluruh bangsa, atau Allah SWT?

Berdasarkan permasalahan di atas, dapat dijelaskan bahawa undang-undang yang berkaitan dengan kekuasaan dan pemerintahan ada dijelaskan di dalam al-Quran. Namun begitu, dalam pemerintahan khususnya berkaitan dengan hukum hakam kuasa tertinggi tersebut adalah bagi Allah s.w.t. Ia bermaksud bahawa undang-undang atau hukum hakam yang telah diwahyukan oeh Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui al-Quran dan al-Sunnah adalah wajib dipatuhi oleh manusia. Di dalam Al-Quran terdapat ayat-ayat yang menyatakan kuasa tertinggi bagi Allah. Firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Sesungguhnya hukum hanyalah bagi Allah, Allah memerintah supaya kamu jangan menyembah melainkan kepada Allah. Yang demikian itulah agama yang betul.”[21]

Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud :
“(Katakanlah kepada mereka Wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah”. [22]
            
              Walau bagaimanapun, bagi melaksanakan perintah yang berkaitan dengan hukum hakam Islam, Allah s.w.t telah mengutuskan para nabi dan rasulNya bagi melaksanakan perintah Allah s.w.t. Hal demikian dapat dijelaskan berdasarkan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. [23]

Masalah yang kedua : Apakah dia batas-batas pemerintahan negara

Sesungguhnya al-Quran ada menerangkan dengan jelas ayat-ayat yang menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mencegah melakukan kemungkaran berdasarkan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya”. [24]

Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud :“Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.”[25]

            Berdasarkan kepada ayat di atas menunjukkan kita hendaklah taat kepada negara khususnya kepada Allah dan RasulNya. Manakala sabda Rasulullah s.a.w :
لا طاعة لمن عصى الله
Maksudnya :
“Janganlah kamu mentaati kepada orang yang berbuat maksiat kepada Allah s.w.t”.

Sabda Baginda s.a.w lagi :
لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق
Maksudnya :
“Janganlah kamu patuh kepada makhluk yang berbuat maksiat kepada pencipatanya (Allah)”.

Masalah yang ketiga :  Batas-batas pemerintahan negara dan sifat hubungan antara satu sama lain.
Dalam sistem pemerintahan Islam terdapat tiga badan utama yang berperanan dalam menjalankan tugas berdasarkan bidang kuasa masing-masing, iaitu :
  1. Badan eksekutif
  2.  Badan legislatif (kehakiman)
  3. Badan judikatif (perundangan)

Masalah keempat: Apakah dia matlamat untuk membina negara, dan apakah tujuan, dan apa dasar mereka terhadap prinsip-prinsip negara.

Masalah yang keempat ini ada dijelaskan dalam al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Berdasarkan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan.” [26]

Firman Allah s.w.t lagi yang bermaksud :Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar.” [27]

Manakala sabda Nabi s.a.w [28]:
إن الله ليزع بالسلطان ما لا يزع بالقرآن

Ibn Kathir dalam tafsir ayat :
واجعل لي من لدنك سلطانا نصيرا

Sesungguhnya negara Islam memerlukan kuasa kerajaan untuk memberi penghakiman dengan panduan daripada al-Quran dan peringatan daripada melakukan keburukan dan kemungkaran.

            Konsep pemerintahan negara Islam bermatlamatkan bagi menjaga keselamatan dan mempertahankan sempadan negara atau meningkatkan tahap kehidupan masyarakat, dan ini merupakan matlamat yang tinggi dalam mendirikan negara Islam.

Masalah kelima: Bagaimana kerajaan dibentuk

Masalah yang penting ialah masalah ketua negara yang dikenali dengan istilah yang pelbagai seperti Imam, Amir  atau khalifah. Wajib ke atas kita untuk kembali kepada Islam bagi mengetahui  apa yang sedang berlaku pada masa sekarang.

  1. Pemilihan Ketua Negara

Pemilihan ketua Negara adalah melalui persetujuan daripada ahli majlis syura seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.” [29]

  1. Pembentukan Majlis Syura

Masalah yang penting selepas pemilihan ketua negara ialah masalah anggota majlis syura. Antara masalah yang sering melanda dalam pembentukan anggota majlis syura ialah dari segi siapa pihak yang berhak menganggotai majlis syura tersebut, syarat-syarat kelayakan bagi setiap anggota majlis syura dan sebagainya.

Masalah keenam: Sifat-sifat pemimpin dan kelayakan

Al-Quran dan al-Sunnah ada menjelaskan kelayakan yang mesti dimiliki oleh pemimpin antaranya ialah:

  1. Islam
Berdasarkan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu". [30]

  1. Lelaki

Berdasarkan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.” [31]
  
Manakala berdasarkan kepada sabda Nabi s.a.w :
 ))       لن يفلح قوم ولوا أمرهم امرأة ))- رواه البخاري
  1. Berakal dan baligh

Berdasarkan firman Allah :
 ولا تؤتوا السفهاء أموالكم  التي جعل الله لكم قياما
  1. Menetap dalam Negara Islam

Berdasarkan firman Allah :
 والذين أمنوا ولم يهاجروا مالكم من ولايتهم من شيء حتى يهاجروا

Masalah ketujuh : Kewarganegaraan

Adapun penduduk Islam dijelaskan dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah.” [32]
           
             Ayat di atas menjelaskan tentang dua asas kewarganegaraan iaitu beriman dan menetap dalam negara Islam atau berpindah ke tempat lain.

Masalah kelapan: Hak umum (awam)

Hak-hak  penduduk dalam negara Islam antaranya ialah :

  1. Menjaga jiwa, harta dan maruah

Ini adalah berdasarkan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w dalam khutbah pada haji wida’ iaitu :
 إن دماءكم واموالكم واعراضكم حرام كحرمة يومكم هذا
  1. Menjaga kebebasan peribadi

Tidak dihalalkan dalam Islam merampas kebebasan individu namun demikian jika sekiranya disabitkan ke atasnya jenayah (kesalahan) dan membolehkan dia untuk membela dirinya.

  1. Kebebasan mengeluarkan pendapat dan prinsip

  1. Islam mengambil berat tentang  keperluan setiap individu dalam negara ini

Sebagai contoh Islam telah memfardhukan umatnya untuk mengeluarkan zakat.
Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w :
(( تؤخذ من أغنيائهم فترد على فقرائهم ))

Masalah kesembilan: Hak-hak negara ke atas penduduknya

Antara hak-hak negara ke atas penduduknya ialah:
  1. Hak ketaatan
Dalam sesebuah pentadbiran negara, rakyat hendaklah mentaati atau patuh kepada ketua negara. Hal demikian adalah berdasarkan kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” [33]

            Walau bagaimanapun, sekiranya pemerintah tersebut mentadbir menyalahi hukum syara’ atau mentadbir kepada perkara kemaksiatan maka adalah tidak wajib bagi rakyat mematuhi arahan atau undang-undang yang diperintahnya ke atas mereka.

  1. Setia kepada pemimpin

Iaitu rakyat hendaklah memberi kesetiaan mereka kepada pemerintah sekiranya pemerintah tersebut mentadbir sesuatu negara berdasarkan hukum syara’ sama ada semasa keadaan yang susah dan senang. Rakyat juga hendaklah sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin dalam pentadbirannya.

6.0 KESIMPULAN

Perlembagaan atau undang-undang dalam sesebuah negara amatlah penting kerana dengan adanya undang-undang negara tersebut dapat mengukuhkan kedudukannya dalam pemerintahan serta dapat menjamin keselamatan dan keharmonian rakyat negara tersebut.
            Dalam sistem pemerintahan Islam, diwujudkan perlembagaan Islam adalah berdasarkan sumber-sumber utama iaitu al-Quran, al-Sunnah, amalan-amalan khulafa al-rasyidin dan keputusan dan ketentuan para mujtahid mengenai isu - isu perlembagaan. Walau pun terdapat beberapa masalah yang timbul dalam perlembagaan Islam, namun ia dapat di atasi dengan merujuk kepada sumber-sumber yang telah dijelaskan di atas.
            Oleh yang demikian, pemerintah hendaklah mentadbir atau memerintah sesebuah negara berdasarkan kepada syariat Islam yang betul.

RUJUKAN
Al-Quran
Abdul Monir Yaacob (penyunting), Ahmad bin Mohamed Ibrahim. 1999. Prinsip-prinsip pemerintahan dalam masyarakat majmuk. Institut Kefahaman Islam         Malaysia (IKIM): Kuala Lumpur.
Al-Maududi, Abu al-A’la. 1987. Tadwin al-dustur al-Islamiyy. Cetakan kedua. Dar al-      Sa’udiyyah.
Al-Maududi, Abu al-A’la. t.th. Asas-asas Islam.       http://www.scribd.com/doc/9230184/abul-ala-almaududi-asasasas-          islam?in_collection=2440663 [14 Januari 2011].
Al-Nabhan, Muhammad Faruq, 1480H/1988M, Nizam al-hukm fi al-Islam, Beirut:  Mu’assasah al-Risalah.
Al-Sudairyy, Taufik bin Abd al-‘Aziz. 1425H. Al-Islam wa al-dustur. Mauqi’ al-Islam.             http://sh.rewayat2.com/akida/Web/119/001.htm.[15 Januari 2011].
Anwar Zainal Abidin & Wan Kamal Mujani. 1999. Sirat al-Rasul dan al-khulafa al-rashidun. Universiti Kebangsaan Malaysia : Bangi.
Mahmood Zuhdi Abdul Majid. 2004. Sejarah pembinaan hukum Islam. Cetakan keempat.Universiti Malaya : Kuala Lumpur.
Mat Saad Abd. Rahman.1984. Perlembagaan Islam sumber dan prinsip. ISIUKM: Bangi,Selangor.


                [1] Al-Sudairyy, Taufik bin Abd al-‘Aziz, 1425H, al-Islam wa al-dustur,t.th.
                [2] Al-Sudairyy, Taufik bin Abd al-‘Aziz, 1425H, al-Islam wa al-dustur,t.th.
                [4] Al-Nabhan, Nizam al-hukm fi al-Islam,hlm 165.
                [5] Mat Saad Abd Rahman,1984, Perlembagaan Islam Sumber dan Prinsip, hlm. 4.
                [6] Mat Saad Abd Rahman, 1984, Perlembagaan Islam Sumber dan Prinsip, hlm. 4.
                [7] Mat Saad Abd Rahman, 1984, Perlembagaan Islam Sumber dan Prinsip, hlm. 4.
                [8] Mahmood Zuhdi Abdul Majid,2004, Sejarah pembinaan hukum Islam, hlm. 40.
                [9] Al-Quran, Yusuf  ( 12:40 )
                [10] al-Quran, al-Imran 3:26.
                [11] Mahmood Zuhdi Abdul Majid, 2004, Sejarah pembinaan hukum Islam, hlm. 53.
                [12] al-Quran, al-Israa’ 17:77.
                [13] Mahmood Zuhdi Abdul Majid, 2004, Sejarah pembinaan hukum Islam, hlm. 53.
                [14] Mahmood Zuhdi Abdul Majid, cetakan keempat, 2004, hlmn 54.
                [15] al-Quran, al-Nisa’ 4:59.
                [16] Anwar Zainal Abidin & Wan Kamal Mujani, 1999, Sirat al-Rasul dan al-khulafa al-rashidun, hlm.168.
                [17] Anwar Zainal Abidin & Wan Kamal Mujani, 1999, Sirat al-Rasul dan al-khulafa al-rashidun, hlm.180.
                [18] Anwar Zainal Abidin & Wan Kamal Mujani, 1999, Sirat al-Rasul dan al-khulafa al-rashidun, hlm.180.
                [19] Anwar Zainal Abidin & Wan Kamal Mujani, 1999, Sirat al-Rasul dan al-khulafa al-rashidun, hlm.181.
                [20]Al-Maududi, Abu al-‘A’la, 1987, Tadwin al-dustur al-Islamiyy, hlm. 21.
                [21] Al-Quran, Yusuf 12:40.
                [22] Al-Quran, al-A’raaf  7:3.
                [23] Al-Quran, al-Baqarah 2:30.
                [24] Al-Quran, al-Baqarah 2:187.
                [25]Al-Quran, al-Nisaa’ 4:59.
                [26] Al-Quran, al-Hadid 57:25.
                [27] Al-Quran, al-Hajj 22:41.
                [28]Al-Maududi, Abu al-A’la, 1987, tadwin al-Dustur al-Islamiyy, hlm.44.
                [29]al-Quran, al-Syura 42:38.
                [30] Al-Quran, al-Nisa’ 4:59.
                [31] Al-Quran, al-Nisa’ 4:34.
                [32] Al-Quran, al-Anfal 8:72.
                [33] Al-Quran, al-Nisa’ 4:59.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan