Photobucket

Sabtu, 5 Mac 2011

Adakah peruntukan dalam enakmen jenayah syariah tertumpu kepada kesalahan tertentu sahaja?

PENDAHULUAN


Sistem pentadbiran undang-undang di Malaysia dapat dibahagikan kepada dua struktur pentadbiran undang-undang iaitu struktur Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah. Setiap mahkamah mempunyai peringkat yang berbeza dari segi bidang kuasa seperti yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang di Malaysia.
 
Mahkamah Syariah di Negeri-negeri telah ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Negeri-Negeri, selaras dengan butiran 1 Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Penubuhannya juga disertai dengan bidang kuasa eksklusif yang tersendiri, yang melibatkan kes-kes mal dan kes-kes jenayah setakat yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi orang-orang yang beragama Islam.
 
Dalam melaksanakan bidang kuasa jenayahnya pula, Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan kes-kes jenayah syariah yang melibatkan kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum penjara tiga tahun, denda tidak melebihi RM5000, tidak melebihi enam sebatan atau mana-mana gabungan.

Namun dalam penulisan ini, penulis akan membincangkan mengenai pelaksanan penguatkuasaan peruntukan dalam enakmen kesalahan jenayah syariah yang diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah secara terperinci.



1.0 PENGENALAN

Sebelum Enakmen Jenayah Syariah digubal secara berasingan, peruntukan bagi kesalahan-kesalahan yang berhubung dengan hukum syarak didapati dalam Enakmen Pentadbiran Majlis Agama Negeri-negeri. Pada tahun 1985 usaha awal telah dilakukan oleh Negeri Kelantan untuk memisahkan kesalahan-kesalahan jenayah daripada Enakmen Pentadbiran Majlis Agama. Justeru itu Enakmen Jenayah Syariah No. 2, 1985 digubal dan diluluskan oleh kerajaan negeri pada tahun 1985 (Abdul Halim el-Muhammady 1998).

Ia merupakan enakmen yang pertama yang dipisahkan daripada Enakmen Pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri, kemudian diikuti oleh Negeri Kedah yang meluluskan undang-undang jenayahnya pada tahun 1988, diikuti pula oleh Negeri Perlis dengan meluluskan enakmen jenayah pada tahun 1991, kemudian diikuti pula oleh Negeri Melaka yang meluluskan enakmen jenayah syariah pada tahun 1991. Negeri Sembilan dan Perak masing-masing meluluskan undang-undang jenayah syariahnya pada tahun 1992 (Abdul Halim el-Muhammady 1998).

Enakmen jenayah syariah yang diluluskan oleh negeri-negeri secara umumnya didapati sama melainkan terdapat beberapa perbezaan kecil di dalamnya, antaranya tajuk enakmen itu sendiri, Negeri Melaka menggunakan tajuk enakmen Kesalahan Syariah, manakala Negeri Perak meletakkan perkataan jenayah dalam tanda kurungan, manakala Negeri Perlis pula enakmennya bertajuk Enakmen Jenayah Dalam Syarak. Negeri Kelantan, Kedah dan Negeri Sembilan masing-masing menggunakan nama Enakmen Jenayah Syariah Negeri (Abdul Halim el-Muhammady 1998).

Dari segi kandungan didapati Enakmen Negeri Perak dan Negeri Sembilan memperuntukkan lebih menyeluruh tentang jenis-jenis kesalahan syarak berbanding dengan enakmen negeri-negeri lain. Selain itu terdapat juga beberapa perbezaan dari segi hukuman antara enakmen negeri-negeri dalam kesalahan yang sama, sebagai contoh kesalahan mengajar ajaran salah Enakmen Jenayah Syariah Perak dendanya RM3000, manakala Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan RM5000 (Abdul Halim el-Muhammady 1998).

Penguatkuasaan jenayah syariah merujuk kepada melaksanakan peraturan yang diperuntukkan di bawah mana-mana undang-undang Islam yang sedang berkuatkuasa seperti peruntukkan yang terdapat di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri. Kesalahan jenayah syariah ini boleh dianggap sebagai jenayah tanpa mangsa (victimless crime). Undang-undang yang dicipta bersabit dengan jenayah tanpa mangsa ini seringkali mencetuskan kontroversi (Siti Zubaidah Ismail 2008).

Jenayah syariah yang terdapat dalam enakmen negeri-negeri bolehlah ditakrifkan sebagai kesalahan-kesalahan yang ada peruntukkannya dalam enakmen-enakmen yang diluluskan oleh negeri-negeri sama ada yang terdapat dalam Enakmen-Enakmen Jenayah Syariah atau enakmen-enakmen lain yang terdapat di dalamnya peruntukan kesalahan-kesalahan dan ada hukuman keseksaannya (Abdul Halim el-Muhammady 1998).

2.0 PUNCA KUASA JENAYAH SYARIAH DI MALAYSIA

Kuasa-kuasa Jenayah Syariah di Malaysia muncul dari undang-undang tertinggi di Malaysia iaitu Perlembagaan Malaysia (Zulfikri Bin Yasoa 2008). Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:
Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.

Dalam Perlembagaan Persekutuan, kuasa-kuasa berkenaan dengan agama diletakkan di bawah kuasa Negeri (Zulfikri Bin Yasoa 2008). Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:

Kecuali mengenai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut agama Islam, termasuk hukum Syarak yang berhubungan denga pewarisan, berwasiat dan tidak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, mas kahwin, nafkah, pengangkatan, penjagaan, alang, pecah milik dan amanah bukan khairat; Wakaf dan takrif serta pengawalseliaan amanah khairat dan agama, pelantikan pemegang amanah dan perbadanan orang berkenaan dengan derma kekal agama dan khairat, institusi, amanah, khairat dan institusi khairat Islam yang beroperasi keseluruhannya di dalam Negeri; adat Melayu; Zakat, Fitrah dan Baitulmal atau hasil agama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam, pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu, kecuali berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah Syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan, mengawal pengembangan doktrin dan kepercayaan di kalangan orang yang menganut agama Islam; penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin Syarak dan adat Melayu.

Bagi Wilayah Persekutuan pula, kuasa ini dijalankan oleh Parlimen (Zulfikri Bin Yasoa 2008). Senarai 1 Jadual Kesembilan perenggan 6(e) memperuntukkan:
Pemerintahan dan pentadbiran Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya termasuk hukum Syarak di dalamnya setakat yang sama sebagaimana yang diperuntukkan dalam butiran 1 Senarai Negeri dan berkenaan dengan Wilayah Persekutuan Labuan, undang-undang dan adat anak negeri setakat yang sama sebagaimana yang diperuntukkan dalam butiran 13 Tambahan kepada Senarai Negeri bagi Negeri Sabah dan Sarawak.


3.0 KESALAHAN-KESALAHAN JENAYAH SYARIAH

Secara umumnya, kesalahan-kesalahan jenayah yang diperuntukkan dalam enakmen- enakmen berkenaan adalah terlalu sedikit dan amat terhad termasuk peruntukan hukumannya. Hukuman yang diperuntukkan hanyalah merangkumi takzir iaitu penjara, denda atau sebatan. Peruntukan ini boleh dilihat dalam beberapa enakmen negeri-negeri seperti Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kelantan) 1985 dan Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (pindaan) (Kelantan) 1986 (Zulkifli Hasan 2007).

Bagi negeri yang masih tidak mempunyai enakmen jenayah syariah, peruntukan kesalahan terdapat di dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri masing-masing. Selain daripada itu terdapat juga kesalahan jenayah syariah yang diperuntukan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam bahagian iv dan x yang dikenali sebagai kesalahan matrimoni seperti Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Johor) 2003. Bagi memudahkan perbincangan, pengklasifikasian kesalahan jenayah syariah ini dapat diringkaskan seperti berikut (Zulkifli Hasan 2007):

a) Kesalahan di bawah enakmen atau akta jenayah syariah:-

i) Kesalahan yang berhubung dengan akidah;
ii) Kesalahan berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya;
iii) Kesalahan berhubung dengan rukun Islam, arak, judi dan kesusilaan;
iv) Kesalahan seksual;
v) Kesalahan berhubung dengan kesejahteraan orang lain;
vi) Kesalahan Pelbagai;

b) Enakmen atau akta undang-undang keluarga Islam:-

i) Penalti berhubung dengan akad nikah dan pendaftaran perkahwinan; dan
ii) Penalti am.



4.0 KESALAHAN DI BAWAH ENAKMEN ATAU AKTA JENAYAH SYARIAH.

Berdasarkan kepada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 2009 yang memperuntukkan kesalahan-kesalahan seperti berikut :

4. 1 Bahagian II : Kesalahan yang berhubungan dengan aqidah
(a) Seksyen 4. Pemujaan salah
(b) Seksyen 5. Mendakwa bukan orang Islam untuk mengelakkan tindakan
(c) Seksyen 6. Tafkir
(d) Seksyen 7. Doktrin palsu
(e) Seksyen 8. Dakwaan palsu
Terdapat beberapa kes yang dilaporkan di dalam jurnal hukum seperti Pendakwa Mahkamah Syariah Perak v Shah Pandak Othman (1991) 8 JH 99 dan Akbar Ali v Majlis Agama Islam (1996) 10 JH 197 (Zulkifli Hasan 2007).

4.2 Bahagian III : Kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam dan institusinya.
(a) Seksyen 9. Mempersendakan, dll.,ayat al-Quran atau hadis
(b) Seksyen 10. Menghina atau menyebabkan dipandang hina, dll., agama Islam
(c) Seksyen 11. Memusnahkan atau mencemarkan tempat beribadat.
(d) Seksyen 12. Menghina pihak berkuasa agama
(e) Seksyen 13. Pendapat yang bertentangan dengan fatwa
(f) Seksyen 14. Mengajar tanpa tauliah
(g) Seksyen 15. Mengingkari perintah mahkamah
(h) Seksyen 16. Penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syara’
(i) Seksyen 17. Berjudi
(j) Seksyen 18. Minuman yang memabukkan
Berdasarkan seksyen ini, antara contoh kes yang dilaporkan ialah Abdul Razak Othman lwn Ketua Pendakwa Syarie Negeri Melaka, Timbalan Pendakwa Syarie lwn Kartika Seri Dewi bt Suekarno, Pendakwa Syarie Kelantan lwn Yusundy Josan.
(k) Seksyen 19. Tidak menghormati Ramadan
(l) Seksyen 20. Tidak menunaikan sembahyang Jummat
(m) Seksyen 21. Tidak membayar zakat atau fitrah

4.3 Bahagian IV : Kesalahan yang berhubungan dengan kesusilaan
(a) Seksyen 22. Perbuatan sumbang mahram
Berdasarkan seksyen ini, antara contoh kes yang dilaporkan ialah Pendakwa Syarie Perak lwn Jeffery dan Hasliza
(b) Seksyen 23. Pelacuran
(c) Seksyen 24. Muncikari
(d) Seksyen 25. Persetubuhan luar nikah
(e) Seksyen 26. Perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah
(f) Seksyen 27. Hubungan jenis antara orang yang sama jantina
(g) Seksyen 28. Persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii
(h) Seksyen 29. Khalwat
Berdasarkan seksyen ini, antara contoh kes yang dilaporkan ialah Pendakwa Syarie lwn Jaafar bin Sudin,Mokhtarbin Pangat lwn Pendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
(i) Seksyen 30. Lelaki berlagak seperti perempuan
(j) Seksyen 31. Perbuatan tidak sopan di tempat awam


4.4 Bahagian V : Kesalahan pelbagai
(a) Seksyen 32. Memujuk lari perempuan bersuami
(b) Seksyen 33. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri
(c) Seksyen 34. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan
(d) Seksyen 35. Menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam
(e) Seksyen 36. Qazaf
(f) Seksyen 37. Pemungutan zakat atau fitrah tanpa diberi kuasa
Berdasarkan seksyen ini, antara contoh kes yang dilaporkan ialah Pendakwa Syarie Johor lwn Abdul Talib Harun
(g) Seksyen 38. Penyalahgunaan tanda halal

4.5 Bahagian VII : Penyubahatan dan percubaan
(a) Seksyen 46. Penyubahatan sesuatu perkara.
(b) Seksyen 47.Penyubahat
(c) Seksyen 48. Menyubahati di dalam Negeri Selangor kesalahan di luar negeri Selangor.
(d) Seksyen 49. Hukuman bagi penyubahat
(e) Seksyen 50. Tanggungan penyubahat jika perbuatan yang berlainan dilakukan
(f) Seksyen 51. Penyubahat bertanggungan bagi kesalahan yang disubahati dan kesalahan tambahan yang dilakukan
(g) Seksyen 52. Percubaan

4.6 Bahagian VIII : Perkara-perkara am
(a) Seksyen 53. Penetapan pusat pemulihan atau rumah diluluskan
(b) Seksyen 54. Kuasa Mahkamah untuk mengkomitkan orang yang disabitkan ke pusat pemulihan atau rumah diluluskan
(c) Seksyen 55. Pemansuhan dan kecualian



Manakala, di Sabah terdapat peruntukan tambahan kesalahan iaitu menyembelih tanpa kebenaran Majlis di bawah seksyen 59 (6) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Sabah) 1995 yang menyatakan bahawa sesiapa yang menyembelih apa-apa binatang halal untuk tujuan jualan tanpa mendapat kebenaran atau perakuan bertulis dari Majlis adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali (Zulkifli Hasan 2007).


5.0 ISU-ISU SEMASA BERKAITAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH DI MALAYSIA


5.1 Ketidakseragaman dan konflik undang-undang


Walaupun negara kita sudah mencapai kemerdekaan hampir 53 tahun, hingga kini masih terdapat ketidakseragaman dan beberapa perbezaan peruntukan yang terkandung di dalam enakmen-enakmen atau akta undang-undang jenayah Syariah negeri-negeri di Malaysia. Isu penyelarasan undang-undang syariah bagi negeri seluruh Malaysia bukannya satu perkara baru dan banyak usaha telah dilaksanakan untuk menyeragamkan undang-undang syariah, namun sehingga kini ia masih belum dapat mencapai matlamatnya. Sebagai ilustrasi, kita boleh merujuk kepada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997. Bagi kesalahan mendakwa bukan Islam untuk mengelakkan tindakan di dalam seksyen 5 Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, peruntukan ini tiada di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Manakala kesalahan mengembangkan doktrin agama berlaku sebaliknya. Terdapat juga ketidakseragaman dari aspek hukuman yang dikenakan. Sebagai contoh di dalam kes melibatkan kesalahan menghina atau menyebabkan dipandang hina agama Islam, seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala seksyen 7 Akta Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 menyatakan hukuman denda yang sama tetapi penjara hanya tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya (Zulkifli Hasan 2007).

Isu ketidakseragaman undang-undang ini sepatutnya dapat diselesaikan. Ini memandangkan ianya boleh menimbulkan pelbagai permasalahan undang-undang dan juga reaksi negatif masyarakat kepada pentadbiran undang-undang Islam. Dari aspek konflik bidang kuasa mahkamah syariah dengan mahkamah sivil sepatutnya sudah lama telah diselesaikan melalui artikel 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, ianya tidak berlaku secara menyeluruh. Buktinya masih terdapat pertikaian mengenai bidang kuasa mahkamah syariah seperti di dalam kes Mohamed Habibullah b Mahmood v Faridah Dato’ Talib (1992) 2 MLJ 793, Dalip Kaur v Pegawai Polis Bukit Mertajam (1992) 1 MLJ 7 dan Md. Hakim Lee v Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (1998) 1 MLJ 681. Malahan jika diteliti terdapat beberapa peruntukan di dalam enakmen jenayah syariah yang bertindih iaitu juga terdapat di dalam Kanun Keseksaan seperti berlaku di dalam kes Sukma Dermawan Sasmitaat Madja v Ketua Pengarah Penjara Malaysia (1999) 1 MLJ 266 (Zulkifli Hasan 2007) .

Berdasarkan perkara di atas dapatlah disimpulkan bahawa masih terdapat ketidakseragaman dan konflik bidang kuasa yang berlaku berkaitan dengan peruntukan undang-undang jenayah syariah di Malaysia. Seharusnya usaha-usaha ke arah menyelesaikan isu ini dilipatgandakan dan matlamatnya dicapai sepenuhnya dalam masa terdekat (Zulkifli Hasan 2007).

5.2 Kesalahan murtad

Gejala kerosakan akidah semakin menular di negara kita lebih-lebih lagi ianya membabitkan pertukaran agama atau murtad. Isu ini lebih menarik perhatian ramai apabila Mufti Perak, Dato’ Seri Haji Harussani Zakaria pada Julai 2006 telah membuat kenyataan bahawa berdasarkan laporan kajian dari sekumpulan Melayu professional didapati bahawa seramai 100,000 umat Islam di Malaysia telah bertukar agama. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa isu keluar agama atau murtad telah lama berlaku seperti di dalam kes ayah Pin, Nor Aishah Bokhari, Nyonya Tahir dan Lina Joy. Namun begitu, kita menyaksikan bahawa tidak terdapat peruntukan yang jelas di dalam mana-mana enakmen jenayah syariah di Malaysia mengenai kesalahan murtad. Pada dasarnya, boleh dirumuskan bahawa tidak terdapat undang-undang yang jelas mengenai murtad termasuk hukumannnya (Zulkifli Hasan 2007).


Namun demikian, terdapat peruntukan kesalahan keluar agama Islam diguna pakai di beberapa buah negeri. Sebagai contoh, Melaka telah memperuntukkan kesalahan keluar dari agama Islam sebagai satu kesalahan. Seksyen 66(1) Enakmen Kesalahan Syariah (Melaka) 1991 menyatakan bahawa apabila seseorang Islam dengan sengaja mengaku hendak keluar dari Agama Islam atau mengisytiharkan dirinya sebagai orang yang bukan Islam, Mahkamah boleh memerintahkan orang itu supaya ditahan di Pusat Bimbingan Islam untuk tempoh tidak melebihi enam bulan dengan tujuan pendidikan dan orang itu diminta bertaubat mengikut hukum syarak. Jika seseorang telah bertaubat, maka taubatnya itu mestilah disahkan di mahkamah dan kemudian barulah dia boleh dibebaskan. Jika pula seseorang itu bertaubat semasa dalam tahanan, Pegawai Penjaga hendaklah melaporkan perkara itu kepada mahkamah dan taubatnya juga perlu disahkan oleh Mahkamah (Zulkifli Hasan 2007).
 
Seksyen 6 (1) pula memperuntukkan seseorang yang bersyubahat dibawah seksyen 66 adalah merupakan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga puluh enam bulan atau kedua-dua nya sekali. Jika ditinjau sememangnya terdapat enakmen yang memperuntukkan undang-undang dan hukuman murtad secara khusus iaitu Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II (Kelantan) 1993 dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud & Qisas) Terengganu 2002 yang akhirnya tidak dapat dilaksanakan kerana faktor-faktor tertentu. Kedua-dua enakmen ini ada menyebut sesiapa yang disabitkan melakukan kesalahan irtidad, hendaklah sebelum dijatuhkan hukuman supaya bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang daripada tiga hari setelah dia didapati bersalah dan sekiranya dia enggan bertaubat, maka mahkamah boleh memenjarakannya selama lima tahun dan jika tidak bertaubat juga boleh mengisytiharkan hukuman bunuh ke atasnya. Isu murtad ini semakin hangat timbul apabila melibatkan kes Lina Joy v. Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Ors[2005] 6 MLJ 193 seorang Melayu yang telah menukar agamanya kepada Kristian. Mahkamah Tinggi dan Rayuan telah memberikan penghakiman bahawa bidang kuasa di dalam kes seumpama ini adalah mahkamah syariah. Saat ini, semua pihak masih menanti-nantikan keputusan yang akan dibuat oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia. Jelasnya di sini ialah sepatutnya plaintif di dalam kes ini boleh didakwa di bawah undang-undang jenayah syariah kerana melibatkan kesalahan murtad. Oleh kerana tiadanya peruntukan yang jelas mengenai kesalahan ini, pelbagai permasalahan akan timbul dari masa ke semasa (Zulkifli Hasan 2007).


5.3 Ajaran sesat

Baru-baru ini, masyarakat telah disajikan dengan berita mengenai dakwaan ajaran salah yang dibuat oleh Jabatan Agama Islam Selangor terhadap Rufaqa Corporation yang dikatakan mempunyai kesinambungan dengan ajaran yang pernah diharamkan oleh kerajaan Malaysia iaitu al-Arqam. Selain daripada itu terdapat juga ajaran salah atau doktrin palsu lain seperti Black Metal, Tarikat Naqsyabandiyyah, Ajaran Ayah Pin, Golongan Anti Hadis, Ajaran Martabat Tujuh (Zulkifli Hasan 2007).


Pada hakikatnya mereka yang terlibat dengan ajaran salah ini boleh didakwa di bawah pelbagai peruntukan enakmen jenayah syariah seperti seksyen 4(1), 7(1), 8(a)(b), 9, 13(1), 14(1), 16(1)(a) dan 20 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995. Namun begitu, jika diteliti, terdapat kelemahan dari aspek undang-undang di mana hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan-kesalahan ini adalah terlalu ringan berbanding dengan kemudaratannya kepada orang Islam. Oleh itu, bagi membendung fenomena ajaran salah ini, seharusnya tindakan segera dan pendakwaan dilipatgandakan kepada pihak yang terlibat. Selain daripada itu, bidang kuasa mahkamah syariah dari aspek hukuman juga perlu ditingkatkan bersesuaian dengan seriusnya ancaman ajaran seumpama ini kepada akidah umat Islam (Zulkifli Hasan 2007).


5.4 Kesalahan khalwat mendominasi statistik jenayah syariah

Jika ditinjau, didapati kesalahan yang sering dibicarakan di mahkamah syariah ialah kesalahan khalwat. Ini boleh dibuktikan melalui kes-kes yang dilaporkan sama ada di dalam media masa mahupun di dalam jurnal akademik. Sebagai contoh, merujuk kepada statistik kes khalwat yang berlaku di Selangor pada tahun 2006 mengikut peringkat umur di Selangor di bahagian Perundangan Syarak Majlis Agama Islam Selangor (Zulkifli Hasan 2007).

                                         Seksyen 29(a)      29(b)          JUMLAH
Usia
16-20                                         87                 189                 276
21-25                                       362                 384                 746
26-30                                       169                 114                 283
31-35                                         62                   43                 105
36-40                                         51                   28                   79
41-45                                         26                   17                   43
46-50                                         21                     6                   27
51-55                                         11                     2                   13
56-60                                           3                     1                     4
JUMLAH                                792                784                1576

Jadual 1: Statistik kes khalwat yang berlaku di Selangor pada tahun 2006 mengikut peringkat umur di Selangor di bahagian Perundangan Syarak Majlis Agama Islam Selangor


Jumlah keseluruhan bilangan kes khalwat yang berjaya direkodkan pada tahun 2006 sahaja telah mencecah mencecah 1576 kes. Ini tidak termasuk kes-kes yang tidak dilaporkan mahupun direkodkan oleh pihak berkuasa. Rekod juga menunjukkan bahawa purata usia yang paling tinggi melakukan kesalahan khalwat ialah yang berumur 21 hingga 25 iaitu sebanyak 362 bagi kesalahan di bawah seksyen 29(a) dan 384 di bawah seksyen 29(b) dan peringkat usia paling sedikit melakukan kesalahan khalwat ialah 56 hingga 60 iaitu 3 orang bagi pesalah lelaki manakala seorang bagi pesalah wanita. Trend kesalahan jenayah syariah seumpama ini menunjukkan bahawa bidang kuasa jenayah mahkamah syariah hanya melibatkan perkara perkara kecil dan hukuman yang amat terhad. Amat jarang dilaporkan kes-kes melibatkan kesalahan-kesalahan lain seperti berhubungan dengan akidah, akhlak dan hukum hakam berkaitan Islam. Jika adapun ianya tidak sebanyak kesalahan khalwat. Oleh itu, perhatian terhadap kesalahan lain yang lebih serius perlu juga diberikan seperti kesalahan ajaran sesat, doktrin palsu, menghina al-Quran dan hadis dan sebagainya (Zulkifli Hasan 2007).


6.0 DASAR DAN GARIS PANDUAN PENGUATKUASAAN UNDANG-UNDANG JENAYAH SYARIAH

Usaha untuk memartabatkan aspek penguatkuasaan dan juga pendakwaan jenayah syariah terus dilakukan dan sudah banyak perubahan dan anjakan berlaku. Ini termasuklah dengan mengadakan arahan yang standard untuk diikuti (Siti Zubaidah Ismail 2008).


6.1 Dasar penguatkuasaan


Sebelum dibincangkan perubahan yang berlaku kini, wajar juga disebutkan bahawa inisiatif mengadakan satu SOP bagi maksud penguatkuasaan bukanlah satu perkara baru. Malah, inisiatifnya telahpun dilakukan oleh beberapa negeri sebelum kesemuanya diselaraskan beberapa tahun lepas. Tinjauan mendapati bahawa negeri Melaka dan Selangor merupakan antara negeri yang terlebih dahulu mempunyai dasar atau arahan tetap pengurusan penguatkuasaan. Dasar, panduan atau manual ini berupa ringkasan dan ʻalihbahasa’ terhadap bahasa peruntukan undang-undang yang bersifat teknikal dan sukar fahami jika tidak diteliti dan dibaca secara ‘harfi’ (Siti Zubaidah Ismail 2008).


Walaupun peruntukan berkaitan proses-proses seperti tindakan selepas menerima aduan, proses siasatan, tangkapan, pengeledahan dan sebagainya sudah pun wujud di dalam akta/ enakmen tatacara, namun meletakkannya dalam bentuk yang lebih praktikal, mudah difahami serta carta aliran kerja adalah lebih mudah untuk diikuti. Di Selangor, Arahan Tetap Pengarah JAIS 2002 (Pindaan 2004) yang khusus berkenaan dengan kaedah menangani maklumat dan aduan daripada orang awam telah wujud lebih lima tahun lalu. Terdapat 67 peruntukan di bawah Arahan Tetap terbabit yang wajar diikuti oleh semua PPA dalam menjalankan tugas mereka (Siti Zubaidah Ismail 2008).


Selain itu, JAIS juga mengeluarkan Arahan Tetap Pengarah JAIS 2003 bagi melaksanakan tindakan pencegahan seksyen 31 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (no.9. Tahun 1995) iaitu kaedah-kaedah bagi menangani dan mengendalikan kesalahan/perlakuan tidak sopan di tempat awam. Arahan ini berkuatkuasa mulai 11hb Ogos 2003. Antara tindakan yang boleh diambil oleh pihak berkuasa agama apabila berhadapan dengan kes berkelakuan tidak sopan di khalayak awam ialah mengikut tahap kesalahan iaitu sama ada (Siti Zubaidah Ismail 2008):

1. Nasihat dan arah beredar, atau
2. Arah hadir kursus, atau
3. Tindakan mahkamah.

Pegawai Penguatkuasa Agama akan hanya memberi nasihat dan arah beredar apabila berhadapan dengan perlakuan yang dikira kurang ‘menjolok mata’ seperti berjalan sambil berpegang tangan, duduk rapat, bergurau senda dan sebagainya. Bagi yang agak menjolok mata seperti duduk merangkul pasangan dan pelbagai lagi, pasangan berkenaan akan diarah hadir kursus pemantapan Iman yang akan diadakan di Masjid Negeri Shah Alam. Bagi perlakuan yang agak berat menjolok mata seperti berkucupan, berpeluk secara berdepan, maka pasangan tadi akan didakwa di mahkamah syariah. Setakat ini hanya negeri Selangor yang mempunyai garis panduan khusus bagi menangani kesalahan/perbuatan berkelakuan tidak sopan di khalayak awam (bagi maksud menguatkuasakan seksyen 31 EKJS 2003 (Siti Zubaidah Ismail 2008).

Selain itu, terdapat juga Arahan Amalan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mulai 2004. Terdapat 11 arahan amalan pada tahun tersebut yang merangkumi (Siti Zubaidah Ismail 2008):

1. Kategori kesalahan boleh tangkap dan tidak boleh tangkap
2. Kebenaran menyiasat bagi kesalahan tertentu
3. Kes yang perlu dilaporkan kepada Ketua Pendakwa Syarie
4. Sebutan kes di mahkamah rendah syariah oleh PPA
5. Pembaharuan bon jamin oleh PPA
6. Laporan waran tangkap
7. Rakaman percakapan OKT
8. Penyerahan fail kes
9. Pendakwaan kes di bawah sek.130 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2003
10. Tangkapan pendatang asing tanpa dokumen perjalanan yang sah (PATI)
11. Tangkapan bukan PATI.


Kini, Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai merealisasikan fungsinya, telah pun berjaya menghasilkan satu dasar dan garis panduan standard yang mampu menyelaraskan tugas-tugas penguatkuasaan ke arah yang lebih sistematik lagi. Hasil usaha bersama JAKIM dan Jabatan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seluruh Malaysia, maka pada November 2007, Arahan Tetap Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri 2007 (Garis Panduan Penguatkuasaan Undang-
Undang Jenayah Syariah) telah pun dilancarkan oleh Ketua Pengarah JAKIM (Siti Zubaidah Ismail 2008).

Tujuan Arahan Tetap ini adalah untuk dijadikan garis panduan umum dalam menguatkuasakan undang-undang kesalahan jenayah syariah di negeri-negeri.Ia merupakan arahan pentadbiran yang perlu dirujuk dan diikuti oleh semua Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) dalam menjalankan tugas. Arahan Tetap ini juga merupakan huraian dan penjelasan kepada Akta / Enakmen / Ordinan Tatacara Jenayah Syariah yang berkuatkuasa di negeri-negeri pada masa ini. Ia mengandungi peruntukan berkenaan tatacara menerima aduan/maklumat menjalankan siasatan, menyediakan kertas siasatan, menyediakan laporan ringkas kes dan mengendalikan barang yang disita (Siti Zubaidah Ismail 2008).

Draf asal Arahan Tetap ini telah disediakan oleh JAKIM dan seterusnya diperhalusi serta dikemaskini oleh sebuah Jawatankuasa Khas yang diurusetiakan oleh Bahagian Penasihat (Seksyen Syariah), Jabatan Peguam Negara. Ahli-ahlinya terdiri daripada wakil-wakil Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Undang-Undang, JAKIM, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan-Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak dan Sabah serta Bahagian Pendakwaan dan Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara.

Arahan Tetap ini kemudiannya telah dipersetujui oleh Mesyuarat Ketua Penguatkuasa Agama dan Ketua Pendakwa Syarie Seluruh Malaysia, Persidangan Ketua Jabatan/ Majlis Agama Islam Seluruh Malaysia dan seterusnya diperaku oleh JPN dan diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 7 Jun 2007 untuk digunapakai secara selaras dan seragam di seluruh Malaysia. Maka kini, bolehlah dikatakan bahawa semua negeri telah mengguna pakai arahan amalan ini bagi memantapkan lagi operasi dan tugas yang mereka hadapi (Siti Zubaidah Ismail 2008).

Garis panduan yang ada di Selangor berkenaan penguatkuasaan seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2003 berkaitan perlakuan tidak sopan pula wajar diadaptasi dan diguna sama sebagai pelengkap serta dijadikan contoh bagi negeri-negeri lain. Dalam konteks tindakan nasihat dan arah beredar di tempat kejadian/operasi, PPA boleh memberi nasihat jika perlu, tetapi ini tidak bererti berleter, menghina dan mengeluarkan kata-kata yang boleh menjatuhkan air muka. PPA perlu dilihat tegas, digeruni, professional dan dihormati. Sepanjang masa itu, PPA hendaklah menahan mulut dari mengeluarkan kata-kata yang tidak sedap didengar baik dalam bentuk sindiran mahupun gurauan. Nasihat ini sebenarnya amat bertepatan dengan konsep ʻamar makruf nahi mungkar’ yang merupakan tunjang operasi hisbah dalam pentadbiran Islam (Siti Zubaidah Ismail 2008).

Di samping itu, bagi menangani kesalahan-kesalahan yang lebih serius seperti berkaitan akidah baik mengajar doktrin palsu, mengaku diri sebagai Nabi, Imam Mahadi dan sebagainya, satu garis panduan khusus juga patut diadakan memandangkan kes-kes sebegini merupakan kes berat dan patut disiasat oleh mereka (PPA) yang lebih senior. Mungkin lebih elok jika unit siasatan di bawah bahagian penguatkuasaan mempunyai mereka yang berpengalaman khusus menyiasat kes-kes kesalahan akidah. Kuasa Ketua Pendakwa Syarie pula bersifat quasi-judicial dalam menentukan sama ada untuk mendakwa atau tidak sesuatu kes. Di sini pertimbangan profesional akan dibuat berdasarkan pengalaman perundangan Ketua Pendakwa Syarie sendiri (Siti Zubaidah Ismail 2008).

Oleh kerana setiap kes jenayah syariah adalah unik dan tersendiri, maka wajar diberi pertimbangan berasaskan meritdan fakta kes berkenaan. Ini bermakna Ketua Pendakwa Syarie mestilah adil, bebas dan objektif. Beliau tidak boleh melibatkan pandangan peribadi terhadap suspek, mangsa dan latar belakang, pendirian politik dan sebagainya dalam pembuatan keputusan. Pemisahan di antara bahagian pendakwaan dan penguatkuasaan yang berlaku kini, sememangnya membantu dalam membuat pertimbangan yang bebas dan objektif, yakni setelah menilai bukti-bukti yang telah dikumpulkan oleh bahagian lain yang mana pihak beliau tidak terlibat sama sekali (Siti Zubaidah Ismail 2008).

Jelas bahawa kepentingan masyarakat merupakan kriteria utama dalam pendakwaan jenayah sivil dan keutamaan yang sama juga diberikan oleh jenayah syariah. Boleh jadi semua kes mempunyai elemen kepentingan awam kerana jenayah syariah adalah juga jenayah yang memberi kesan kepada moral dan agama masyarakat, namun klasifikasi dan keutamaan mengenai kepentingan awam itu juga diperlukan. Sungguhpun demikian, cabaran utama terletak pada kertas siasatan, iaitu jika ia lengkap dan bukti mencukupi ke tahap yang meyakinkan, barulah mereka dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan berkesan (Siti Zubaidah Ismail 2008).


7.0 CONTOH-CONTOH STATISTIK KESALAHAN JENAYAH SYARIAH BAGI TAHUN 2003-2007 SELURUH NEGERI JOHOR


Statistik di dalam Jadual 1 menunjukkan peningkatan pelbagai kesalahan jenayah syariah dari setahun ke setahun. Ini yang dapat dikesan melalui tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa (Hashim bin Haji Bedu et al. 2008).

Jadual 1: Statistik Kesalahan Jenayah Syariah (Januari – Jun)

Tahun                       Bilangan Kes
Tahun 2003                 5126 Kes
Tahun 2004                 4794 Kes
Tahun 2005                 4976 Kes
Tahun 2006                 6582 Kes
Tahun 2007                 3731 Kes

Sumber: Jabatan Agama Islam Johor, 2007


Jadual 2: Perbandingan Kesalahan Utama Jenayah Syariah Tahun 2005 – 2007 Seluruh
Negeri Johor

 KES                  2005              2006             2007
JUDI                   372                329              212
ARAK                   49                  13                  8
ZINA                   816                897              430
KHALWAT       2234              2129           1108
PONDAN               42                 27               54
TIDAK SOPAN   441               360             307
JUMLAH           3954             3755           2199


Jadual 4 : Jenayah Sumbang Mahram Dalam Kalangan Keluarga

Jenis Pertalian Sumbang Mahram            Jumlah Kes
                    Bapa                                                401
                    Bapa saudara                                  231
                    Abang kandung                                 90
                    Adik kandung                                      5
                    Datuk                                                 35
                    Datuk saudara                                   19
                    Saudara                                              44
                    Sepupu                                                82

Sumber : Jabatan Agama Johor, 2004

Data di dalam Jadual 4 menunjukkan bahawa jenayah syariah sumbang mahram dalam kalangan anggota keluarga yang ada pertalian darah. Didapati perbuatan bapa kandung
sendiri yang tertinggi melakukan perbuatan terkutuk ini. Ini diikuti oleh bapa saudara dan abang kandung (Hashim bin Haji Bedu et al. 2008).

Jadual 5 : Jenayah Sumbang Mahram Dalam Kalangan Keluarga Yang Tiada Pertalian
Keluarga

Jenis Pertalian Sumbang Mahram                       Jumlah Kes
Bapa Tiri                                                                      251
Bapa Angkat                                                                  36
Abang Angkat                                                                16
Bapa Mertua                                                                    5
Abang / Adik Ipar                                                         117
Abang Tiri                                                                       29
Datuk Tiri                                                                         7
Anak Tiri                                                                           1

Sumber : Jabatan Agama Johor, 2006
8.0 KEPENTINGAN DAN JUSTIFIKASI DASAR PENGUATKUASAAN DAN PENDAKWAAN


Dalam membincangkan keperluan garis panduan untuk para penguatkuasa agama dan juga pendakwa syarie, perlu dilihat terlebih dahulu latar belakang mereka. Di negara kita hari ini, terdapat sejumlah 14 orang Ketua Pendakwa Syarie, 81 orang Pendakwa Syarie dan hampir 534 orang pegawai penguatkuasa Dasar Penguatkuasaan Dan Pendakwaan Jenayah Syariah Di Malaysia. Kebanyakan mereka mempunyai latar belakang dan tahap pendidikan yang berbeza-beza (Siti Zubaidah Ismail 2008).

Dalam konteks undang-undang jenayah syariah dan sistem keadilannya, penguatkuasaan dan pendakwaan berpaksikan akta/enakmen tatacara jenayah syariah yang jelas mengandungi segala aspek prosedural berkaitan menguruskan tindakan-tindakan berkaitan kesalahan yang dilakukan. Dengan peruntukan yang sedia ada, pihak penguatkuasa dan pihak pendakwa tidak akan tersasar dalam melaksanakan tugas masing-masing. Oleh kerana pentadbiran keadilan jenayah syariah perlu dilihat menjunjung keadilan dan berkesan dalam pelaksanaannya, pegawai-pegawainya juga mestilah terlatih dan yang penting sekali celik undang-undang. Tanpa pemahaman yang jitu berkaitan kehendak undang-undang, sudah pasti akan timbul masalah dari segi pentafsiran dan pemakaiannya (Siti Zubaidah Ismail 2008).

Jesteru kewujudan dasar, panduan serta manual bagi memudahcara pelaksanaan keadilan jenayah adalah amat penting, lebih-lebih lagi apabila mengambil kira bahawa semua penguatkuasa agama tidak mempunyai latar belakang undang-undang. Jika diperhatikan rata-rata pegawai penguatkuasa agama merupakan penyandang jawatan Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI bagi gred S41 dan ke atas) atau Pembantu Pegawai Hal Ehwal Islam (PPHEI bagi gred S17 hingga S32). PHEI lazimnya terdiri daripada pemegang ijazah dalam bidang Pengajian Islam (tidak semestinya undang-undang syariah), manakala PPHEI pula memiliki diploma. Kebanyakan mereka tidak mempunyai latar belakang undang-undang syariah (Siti Zubaidah Ismail 2008).

Kesukaran timbul kerana pemahaman undang-undang syariah khususnya akta/enakmen kesalahan jenayah syariah dan enakmen tatacara jenayah syariah merupakan perkara asas dalam menjalankan tugas harian. Kita tidak boleh mengharapkan bahawa pada saat mereka ini dilantik sebagai PHEI dan apatah lagi PPHEI mereka akan terus diberi latihan dan kursus intensif perundangan. Andaiannya ialah mereka akan lebih belajar dari pengalaman dan menerima latihan dalam kerja (on-the-job-training) sewaktu menjalankan operasi pencegahan maksiat dan bekerjasama dengan PHEI yang lebih senior (Siti Zubaidah Ismail 2008).



KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, jelaslah bahawa penguatkuasaan pelaksanaan enakmen jenayah syariah di negeri-negeri bukanlah tertumpu kepada kes-kes tertentu sahaja. Hal demikian, adalah kerana ia berpunca daripada pengurusan penguatkuasaan oleh pihak-pihak yang terbabit dari segi jumlah pegawai, pegawai tersebut tidak didedahkan dengan undang-undang syariah dan kurang pengalaman dalam bidang tersebut dan sebagainya.

Selain itu juga, ia berpunca dari sikap masyarakat yang tidak mengambil berat tentang kelakuan jenayah yang berlaku di sekeliling atau persekitaran mereka. Hal ini akan menyebabkan tiada aduan dan laporan yang lengkap akan menyebabkan bahagian penguatkuasaan tidak dapat menjalankan operasi untuk membanteras jenayah yang berlaku.

Di samping itu juga, kuasa pihak penguatkuasa sangat terbatas kerana terdapat kes yang boleh dibuat tangkapan dan kes yang tidak boleh dibuat tangkapan. Justeru itu, cabaran utama terletak pada kertas siasatan, iaitu jika ia lengkap dan bukti mencukupi ke tahap yang meyakinkan, barulah mereka dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan berkesan.


RUJUKAN

Abdul Halim El-Muhammady.1998. Undang-undang jenayah dalam Islam dan enakmen negeri-negeri. Selangor : Wadah Niaga Sdn.Bhd.

Ahmad Hidayat Buang et al. 2003. Kajian terhadap keberkesanan mahkamah syariah menangani kes-kes kekeluargaan Islam, jenayah syariah dan mal di Malaysia. In Investing in Innovation 2003. Vol. 7: Humanities dan social sciene, ed. Ramlah H. et al., pp 107-110. Selangor: Universiti Putra Malaysia.

Hashim bin Haji Bedu et al. 2008. Keruntuhan akhlak dan gejala sosial dalam keluarga; isu dan cabaran. Seminar Kaunseling Keluarga. Johor Bharu: Fakulti Pendidikan UTM (atas talian) http://eprints.utm.my/.../HashimBedu2008_KeruntuhanAkhlakGejalaSosial Keluarga.pdf ( 14 Mac 2010).

Siti Zubaidah Ismail. 2005. Undang-undang jenayah Islam dan pelaksanaan jenayah syariah di Malaysia. Ahmad Hidayat Buang. Mahkamah syariah di Malaysia pencapaian dan cabaran. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Siti Zubaidah Ismail. 2008. Dasar penguatkuasaan dan pendakwaan jenayah syariah di Malaysia: satu analisis. Jurnal Syariah. Jil. 16 (Keluaran Khas). pp. 537-554. ISSN 0128 – 6730.

Zulkifli Hasan. 2007. Undang-undang jenayah syariah di Malaysia dan sejauh manakah perlaksanaannya. Azman Ab Rahman et al. Isu-isu semasa global sempena kemerdekaan ke-50. Negeri Sembilan: Pusat Pengajian Umum USIM.

Zulfikri Yasoa. 2008. Kesalahan-kesalahan jenayah syariah di Mahkamah Syariah (atas talian) http://www.jksm.gov.my/jksmportal/index.php?option=com...gid (12 Mac 2010).

1 ulasan:

  1. Harrah's Cherokee Casino Hotel - Mapyro
    Find your way around the casino, find where everything 안산 출장안마 is located with these helpful tools. 여주 출장안마 The 파주 출장안마 Cherokee Casino Hotel in Cherokee, NC - Mapyro - 과천 출장안마 Mapyro - Mapyro 의정부 출장샵 - Mapyro

    BalasPadam